Monday, May 10, 2010

Kubang Rotan Johan Zon 3 Liga Bola Sepak Piala MB

Disediakan oleh : Faiz Hj. Othman

Kubang Rotan FC dengan piala kemenangan mereka


ALOR SETAR, 10 Mei 2010 – Saingan peringkat akhir Zon 3 Kejohanan Liga Bola Sepak Piala YAB Menteri Besar Kedah menyaksikan saingan sengit antara Pasukan Kubang Rotan FC dan Pasukan Anak Bukit yang mana Perlawanan Akhir Zon 3 Sabtu lalu berpihak kepada pasukan Kubang Rotan FC dengan kemenangan 2-0 ke atas pasukan Anak Bukit.


Pasukan Kubang Rotan FC di bawah bimbingan jurulatih Mohamad Ramli mempamerkan aksi cemerlang pada 2 perlawanan sebelum layak ke perlawanan akhir Zon 3 yang mana Kubang Rotan FC sebelum itu telah membaham pasukan Tokai dengan jaringan 7-0 manakala perlawanan kedua menyaksikan Kubang Rotan menewaskan pasukan Kota Darulaman dengan jaringan 1-0.


Sepanjang perlawanan akhir berlangsung, Pasukan Anak Bukit juga turut mempertahankan gawang mereka namun berjaya dibolosi oleh pasukan lawan, Kubang Rotan FC dengan dua jaringan yang mana jaringan pertama berjaya dilakukan oleh pemain berjersi 18, Azuan Ahmad pada minit ke-14 perlawanan. Manakala jaringan kedua pula berjaya dilakukan oleh Mohd Fauzan Ghazali pemain berjersi 9 pada separuh masa kedua. Perlawanan Akhir Zon 3 turut disaksikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri kedua-dua pasukan, YB Dato’ Ir. Haji Amirudin Hamzah (Anak Bukit) dan YB Nasir Mustaffa (Kubang Rotan).

Kubang Rotan FC lwn Anak Bukit


Perlawanan Zon 3 yang berlangsung pada Sabtu lalu di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti turut menyaksikan aksi cemerlang empat pasukan lain selain Kubang Rotan dan Anak Bukit iaitu Tokai, Kota Darulaman, Bakar Bata dan Pengakalan Kundor.


Johan Zon 3, Kubang Rotan FC bakal memberi saingan pada perlawanan peringkat Suku Akhir Kejohanan Liga Bola Sepak Piala YAB Menteri Besar Kedah yang bakal berlangsung pada Jun akan datang. Mereka selain itu membawa pulang wang tunai RM 1500, piala iringan dan sijil penyertaan selaku Johan Zon 3. Manakala pasukan Anak Bukit selaku Naib Johan Zon 3 membawa pulang wang tunai RM 1000, piala iringan dan sijil penyertaan. Hadiah telah disampaikan oleh YB Dato’ Ir. Haji Amirudin Hamzah, Exco Kerajaan Negeri Kedah.


YB Dato' Ir Amirudin Hamzah ketika menyampaikan hadiah kepada pemenang


Kejohanan Liga Bola Sepak Piala YAB Menteri Besar Kedah akan meneruskan saingan bagi Zon 4 yang mana akan berlangsung pada 15 Mei 2010 (Sabtu) bertempat di Padang Awam Sik. Perlawanan Zon 4 akan menyaksikan pasukan Sg. Tiang, Belantik, Kupang, Jeneri, Bayu dan Gurun bakal memberikan saingan sengit pada perlawanan akan datang.

0 comments: